Mencari kenangan..

Semalam aku ke Tanjung Tualang, Perak kerana ada urusan merisik dan bertunang bagi pihak abang sepupu aku. Alhamdulillah, semua urusan berjalan lancar. On the way balik, aku dan mama singgah di Batu Gajah. Mulanya niat hendak melawat ibu saudara mama sahaja tapi sewaktu kami singgah di Masjid Batu 8 untuk menunaikan solat Asar, mama tergerak hati untuk mencari saudara mara yang masih tinggal di kawasan masjid tersebut. Aku dan mama pun mencari orang untuk bertanya. Tuah dan rahmat Allah swt. di pihak kami pada hari itu kerana penduduk kampung disitu ramai yang mengenali saudara mara mama yang masih tinggal disitu.

Aku diberitahu oleh sepupu mama yang tinggal disitu bahawa penduduk sepanjangLorong Anjang Ibrahim merupakan saudara mara aku dan lorong tersebut diberi nama sempena arwah moyang kami iaitu Anjang Ibrahim. Nasib aku bertuah pada hari itu kerana aku dapat bertemu dengan moyang saudara ku yang digelar Wan Chor buat kali pertama. Nama moyang saudara ku ini sering ku dengar dalam cerita dan kisah-kisah remaja arwah nenekku dulu.

Arwah nenekku dulu gemar bercerita tentang kisahnya sewaktu muda. Dari kisahnya dipukul dengan kayu api oleh emak tirinya kerana tidak menjaga adik yang kecil, menconteng muka dan melarikan diri ke dalam hutan di belakang rumah semasa askar Jepun masuk kampung, kehilangan adik tersayang, perpindahan keluar dari Batu 8 selepas berkahwin dengan arwah datukku, sehinggalah kisah beliau terserempak mahkluk Allah swt. ketika keluar memotong getah.

Mama menyuruh aku berjalan terus mengikut Lorong Anjang Ibrahim sehinggalah aku bertemu sebuah rumah dihujung jalan. Kata mama, "itulah rumah arwah opah dulu."


Sebak dan pilu melanda jiwa aku bila melihat rumah ini dan kawasan sekitarnya. Air mata perlahan mengalir ke pipi. Hanya satu yang terbayang dimata aku ketika itu. Wajah arwah opah yang sentiasa tenang dan lembut. Semua kisah yang diceritakan oleh arwah nenekku menjadi benar ketika itu dan aku seakan-akan mampu membayangkan apa yang diceritakan oleh arwah nenekku sebelum ini.


Aku tidak lama disitu kerana masih ada lagi rumah yang perlu aku dan mama singgah. Aku puas kerana akhirnya aku mampu melihat bangunan yang amat bersejarah bagi keluarga aku kerana disitulah lahirnya insan yang melahirkan, membesarkan dan mendidik ibuku. Aku bersyukur atas rahmat Allah swt. yang Esa.

Al- Fatihah buat arwah datuk, nenakdan saudara maraku yang telah kembali bertemu Yang Esa. Semoga Allah swt. merahmati roh-roh mereka.

1 comment:

Max J. Potter said...

al-fatihah dr nani jugak. nice pictures. nostalgic. padan pulak dgn layout. *^^* keep blogging!!